Frenz Of LAY LOW

Selamat datang Ke Blog Bro Lay Low. Tulisan,artikel, foto dan video yang dipaparkan adalah untuk bacaan dan tatapan sahaja. Ianya berdasarkan pertimbangan dan pemerhatian Penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak. #IniBlogSaya

Saturday, 15 May 2021

JAJARAN BAHARU SEBAGAI STRATEGI POLITIK AMPUH ZAHID

Manusia hanya merancang Allah jua yang menentukan. Siapa sangka BN boleh kalah PRU14 lepas? Siapa sangkat PAS dan UMNO boleh tubuhkan MN? Siapa sangka PH hanya memerintah 22 Bulan? Siapa sangka PPBM terpaksa menagih simpati UMNO/BN untuk bentuk kerajaan selepas keruntuhan PH? Walaupun umum mengetahui penubuhan PPBM adalah untuk menggantikan UMNO pada satu ketika dahulu. Ini semuanya berlaku luar dari jangkaan.
Mendepani dinamika politik baharu Malaysia, kelihatannya Presiden UMNO DS Zahid Hamidi lebih dahulu kehadapan dengan menawar dan membuat pelbagai pembaharuan dalam urus tadbir politik UMNO/BN. Ianya terbukti, walaupun dengan begitu banyak cabaran dan kekangan politik, beliau terus istiqomah dengan agenda perubahan baharu UMNO semenjak beliau menjadi presiden UMNO.

Apabila berlaku banyak perkara luar jangka selepas PRU14 akibat dinamika politik ini, DS Zahid sekali lagi menawarkan konsep jajaran baharu BN selepas PRU15. Apakah itu jajaran baharu? Selepas PRU14, parti politik yang terus berada di bawah payung BN hanya tinggal UMNO MCA MIC PBRS, parti-parti lain telah memilih laluan sendiri. Almaklumlah, pada ketika itu UMNO sebagai tunjang kepada BN sudah tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara. Memang ianya memeritkan, tapi, inilah dia perjuangan. 

Atas nama perjuangan inilah, DS Presiden menggalas tugas dengan bebanan yang cukup berat dibahu terutamanya dengan pertuduhan terpilihnya di mahkamah yang menjadi senjata PH untuk merosak dan mencalarkan imej presiden UMNO. Pembaharuan demi pembaharuan di buat. Pendekatan dan strategi politik yang ditawar dan dilaksanakan juga berbeza dengan sebelum ini ketika UMNO/BN ditampuk kuasa. Namun sekali lagi, siapa sangka, UMNO telah mula kembali diterima oleh rakyat. Tipu helah yang menyebabkan kekalahan BN PRU14 lepas juga mula kelihatan.

Kebangkitan UMNO/BN ini adalah usaha semua orang yang sayangkan UMNO/BN dan ia pastinya dikemudi oleh seorang ketua iaitu Presiden UMNO itu sendiri. Berikutan dengan kebangkitan semula UMNO/BN, ada pihak dalam PH pada ketika itu sudah mula menghidu akan kejatuhan PH pada PRU15 akan dating. Apatah lagi dalam siri PRK yang diadakan PH rakyat sudah mula menunjukkan sokongan kepada UMNO/BN/MN.

Akibat dari itu, telah ada gerakan daripada pemimpin-pemimpin PH sendiri untuk menjatuhkan PH dan akhirnya menyebabkan PH jatuh. Apa yang menariknya, beberapa pemimpin PH yang menjatuhkan PH ini masih juga kemaruk ingin terus berkuasa. Makanya, mereka terpaksa menjilat semula ludah mereka sebelum ini dengan menagih simpati daripada UMNO/BN untuk menubuhkan kerajaan. Di sinilah kebijaksanaan Presiden UMNO & Pengerusi BN teruji. Walaupun UMNO/BN gagal menutut diadakan pilihanraya pada ketika itu, namun, atas semangat memastikan kelansungan pemerintahan negara dan menyelasaikan segala masalah yang dibuat oleh PH sebelum ini, UMNO/BN setuju untuk mewujudkan kerajaan. Maka UMNO/BN setuju menerima TS Mahiadin sebagai PM pada ketika itu.
Namun apa yang diharapkan tidak seperti yang dirancang, kerajaan pimpinan TS Mahiadin ini mula menunjukkan warna yang sebenar. Antara isu yang berlaku;
1. Pelantikan menteri-menteri persekutuan yang bukan berasaskan perbincangan dan persetujuan sesama ketua parti yang membentuk kerajaan... Sehingga dilihat ada figura-figura lain dalam UMNO cuba ditonjolkan kehadapan bagi menutup kekuatan dan pengaruh Presiden dan MT UMNO itu sendiri…
2. Masalah-masalah yang dibuat oleh PH tidak diselesaikan contoh kes arwah adib, isu hutang negara dan lain-lain lagi…
3. Pertuduhan ‘terpilih’ oleh kerajaan PH yang masih diteruskan…
4. Polisi-polisi dan dasar kerajaan yang bercelaru…
5. Kegagalan menguruskan COVID-19 selepas lebih setahun…
6. Tiada check and balance dalam pemerintahan akibat penutupan parlimen atas sebab darurat…
7. Beberapa isu lain
Akhirnya semua isu-isu ini menyebabkan kerajaan hari ini mula dicemuh oleh rakyat sendiri terutamanya di media-media sosial…

Mendepani cabaran ini, apakah pilihan yang ada bagi UMNO/BN? Ya kita faham, UMNO juga terpalit akibat kegagalan kerajaan hari ini disebabkan ramai ahli parlimen UMNO (walaupun tiada jawatan dalam kepimpinan tertinggi UMNO) yang menjadi menteri/timbalan menteri dalam kerajaan hari ini… Apakah UMNO sanggup terus mengangkat kerajaan pimpinan PPBM dan serpihan PKR yang keluar ini untuk terus memimpin negara…?

Sekali lagi kepimpinan Presiden dan MT UMNO diuji… Dalam keadaan COVID19 yang gagal diselesaikan oleh kerajaan, walaupun darurat telah diisytiharkan, dalam keadaan kewangan negara yang kian meruncing, dalam keadaan keputusan kerajaan flip flop, dalam keadaan peluang pekerjaan semakin menipis, dalam keadaan orang melayu juga teruji walaupun kerajaan ini dikatakan kerajaan melayu, itu tidak termasuk serangan demi serangan kepada pucuk pimpinan parti oleh figura-figura tertentu walaupun pada hakikatnya presiden, tim.presiden, naib-naib presiden (kecuali Ismail Sabri), SU Agung, Bendahari Kehormat, Ketua Penerangan UMNO dan lain-lain tiada pun dalam tampuk pemerintahan negara… Persoalannya, apakah dalam keadaan serba serbi masalah ini Presiden dan MT UMNO boleh tawarkan untuk Malaysia yang lebih baik…?

Justeru, Presiden menawarkan konsep jajaran baharu selepas PRU15 dan dalam masa yang sama mengukuhkan Muafakat Nasional. Akibat daripada tawaran ini, ramai pemimpin dalam kerajaan hari ini mula merasa tidak senang, malahan lebih teruk lagi, ada pemimpin UMNO yang lebih selesa dengan kerajaan yang dilihat bermasalah dan gagal ini, mula bermain politik dengan cubaan mengaitkan jajaran baharu dengan DAP dan PKR, walaupun Presiden tidak menyebut mengenai itu dan telah dijelaskan apa juga bentuk jajaran baharu hanya akan dibuat melalui MT UMNO itu sendiri… Jajaran baharu tidak boleh dilihat dalam konteks yang sempit semata biarlah masa yang menentukan…

Sedar atau tidak, tawaran ini mula dilihat sebagai cabaran kepada gabungan politik PH dan PN yang ada pada hari ini. Berikutan dari kegagalan 2 buah gabungan ini, dilihat jajaran baharu yang ditawarkan UMNO lebih meyakinkan kerana UMNO terbukti mempunyai barisan pemimpin yang mempunyai track record yang baik dalam memimpin negara dan dalam masa yang sama kebangkitan semula dan kecekalan pemimpin-pemimpin UMNO walaupun begitu banyak serangan dan ujian yang mereka tempuhi. 

Telah mula kedengaran suara suara rakyat untuk mengembalikan semula kerajaan kepada UMNO/BN dalam PRU15 yang akan datang selepas ramai yang kecewa dengan prestasi PH dan PN… Walaupun diakui tiada kerajaan yang sempurna, namun, jelas melihatkan UMNO/BN itu adalah lebih baik dan meyakinkan… Agenda perjuangan UMNO adalah manifestasi kepada keadaan yang tidak tentu arah dalam tanahair sekarang…

Dalam keadaan UMNO BN sedang dalam proses kebangkitan, penulis percaya UMNO tidak mampu dan tidak akan mahu memikul bebanan masalah yang dibuat oleh kerajaan PN pimpinan PPBM... Strategi jajaran baharu juga melihatkan betapa PN dan PH nampak seolah-olah bergantung kepada UMNO/BN untuk menjadi kerajaan dan memimpin negara pada PRU15 akan datang... 

Justeru, DS Zahid sebagai pengemudi dan ahli-ahli UMNO/BN secara keseluruhannya mesti terus cekal dan tabah… Jentera UMNO/BN perlu disusun dan dikuatkan… MT UMNO juga bertanggungjawab untuk memastikan ahli-ahli sentiasa bersama dalam agenda perjuangan ini dan tidak sama sekali lari dari landasan akibat tawaran oleh pihak-pihak lain… Hanya dengan ini UMNO/BN akan terus kuat dan sekali lagi menjadi INDUK kepada pemerintahan negara pada PRU15 akan datang… Biarlah masa yang menentukan…

Penulis Bebas
AKAAKY
2 Syawal 1442
14 Mei 2021

Sunday, 8 March 2020

TAN SRI MUHYIDDIN TIDAK BOLEH LUPA JIWA BESAR NAJIB DAN ZAHID...

Sejak kebelakangan ini terlalu ramai yang cuba menghukum seseorang itu bersalah walaupun hakikatnya orang itu masih belum dibuktikan bersalah... Hanya kerana ada pertuduhan di mahkamah, itu tidak bererti seorang itu adalah bersalah... Netizen sehaursnya berjiwa besar dalam menilai seseorang itu... Kuasa juga tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dan kita perlu ingat kuasa itu bukan untuk selamanya... 

Nilai manusia pada akal dan budinya dan kita sebagai netizen perlu menjaga akan hak menilai kita agar kita tidak menghukum sesiapa sahaja hanya bersandarkan media (mungkin berat sebelah), hanya berdasarkan bacaan kita dalam media sosial dan mungkin dari kata-kata orang lain... Kita tidak mahu apa yang pernah berlaku kepada Dato Seri Najib dahulu, beliau ditohmah dengan tuduhan-tuduhan yang belum berasas, rata-rata netizen menghukum beliau sebagai bersalah... Hari ini, ramai yang merindui beliau dan ada yang menyesal dengan apa yang pernah mereka lakukan terhadap DS Najib sebelum ini...

Sedar atau tidak, Najib dan Zahid adalah watak besar dalam perjuangan UMNO akhir-akhir ini... Kedua mereka ini yang saling percaya dan mempunyai semangat setiakawan dalam perjuangan... Tatkala, Najib (semasa menjadi presiden UMNO) dilihat sebagai liabiliti (pada ketika itu) disebabkan tuduhan-tuduhan tidak berasas dan pengaruh media sosial, Zahid adalah watak sahabat yang hadir untuk membantu Najib menguruskan negara, menguruskan persepsi dan menjernihkan suasana parti UMNO ketika itu...

Tatkala, UMNO memerlukan seorang pemimpin yang memastikan UMNO terus kuat, Zahid juga adalah watak yang hadir untuk mengemudi parti keramat UMNO ini... Dalam memimpin parti yang bukan menjadi kerajaan, tanggungjawab dan bebanan cukup besar beliau terpaksa pikul... Ditambah lagi dengan tuduhan-tuduhan mahkamah yang begitu banyak dan dikira tidak masuk akal dan dilihat bersifat 'politik' bagi menjatuhkan karier politiknya dan meruntuhkan institusi presiden UMNO itu sendiri, namun, beliau terus kuat melangkah... Mungkin ini disebabkan beliau ini adalah jenis manusia dan pemimpin yang dekat dengan urusan agama dan mendampingi alim ulama, maka, tidak mustahil Allah membantu beliau dalam urusannya...

Diserang kiri dan kanan, namun, Zahid terus menyusun gerak kerja dan strategi UMNO dengan kemas dan tersusun... Siapa sangka, UMNO boleh bersama dengan PAS? Ini tidak pernah dibayangkan, namun, sebagai presiden UMNO beliau berjiwa besar untuk bersama-sama dengan PAS dalam memastikan perjuangan agama, bangsa dan negara itu terus releven dan kuat... Akhirnya PAS dan UMNO membentuk Muafakat Nasional dan menjadi ANCAMAN besar kepada kerajaan yang dikuasai dan dipengaruhi agenda DAP... Natijahnya? Hari ini MN telah diterima oleh segenap lapisan masyarakat dan ditambah dengan prestasi buruk PH sebelum ini...

LL melihat gelagat beberapa orang pemimpin, ada yang cuba mengambil kredit dalam kejayaan ini, tapi itu tidak mengapa asalkan sahaja ianya demi kepentingan UMNO/BN... Zahid juga yang berjiwa besar untuk menyatukan pemimpin-pemimpin UMNO seperti memberikan peranan kepada Najib sebagai Penasihat BN dan KULI sebagai Penasihat UMNO... Walau bagaimanapun, ramai yang terlupa, jika bukan kerana watak Zahid sebagai presiden UMNO yang mengemudi parti KEJAYAAN yang dicapai ini tidak akan mungkin terjadi... 

Dalam memilih calon PM pula, tanpa peranan besar Zahid dan Najib mungkin TS Muhyiddin tidak akan menjadi Perdana Menteri... Umum mengetahui hal yang berlaku antara Najib dan Muhyiddin semasa dalam UMNO... Namun, atas kepentingan rakyat dan negara, Najib memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri... Begitu juga Zahid, bagaimana beliau membawa UMNO/BN untuk memberikan sokongan solid kepada Muhyiddin... Ini jelas bukannya perkara yang mudah...

Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin jangan pernag lupa jiwa besar kedua-dua pemimpin ini... Jangan sesekali mebelakangi mereka... Kita tahu, ini adalah percaturan politik, tapi, Tan Sri Muhyiddin juga perlu berjiwa besar untuk memberikan peranan kepada mereka berdua...

Teguran juga kepada ahli UMNO supaya jangan pernah terpengaruh dengan mainan media... Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibukti bersalah! 

Friday, 6 March 2020

KERAJAAN CAMPURAN! APA KATA TSMY LANTIK 3 ORANG TPM...?

Isu kabinet ini masih belum selesai sampai ke saat ini... Secara peribadi, LL telah menjangkakan perkara ini dengan lebih awal lagi... Kenapa? Kita lihat sahaja pembentukan kerajaan yang lahir disebabkan perletakan jawatan secara tiba-tiba Tun Dr Mahathir sehingga runtuhkan kerajaan PH...


Dalam keadaan rakyat baharu sahaja mengundi 22 bulan yang lepas, YDPA membuat keputusan yang bijak untuk melantik calon yang mempunyai sokongan tertinggi dari kalangan MP... Sedar atau tidak, Anwar yang dikatakan calon febret juga tidak mampun mendapat sokongan daripada majoriti ahli parlimen... jadi apa pilihan yang MP-MP ini ada...? Seorang calon perlu diangkat...


Flip flop dari PH, sekejap nak kan Anwar dan sekejap nakkan Tun juga akhirnya menemui jalan kegagalan... Maka, nama TS Muhyiddin naik sebagai calon yang dilihat boleh menyelesaikan kemelut ini...

Secara asasnya, perlu difahami, Muafakat Nasional yang mula mendapat tempat dihati rakyat terutamanya oleh Melayu/Bumiputera, juga tidak menjangkakan situasi ini akan berlaku... Gerak kerja MN pastinya kearah PRU15... Justeru, mereka juga berjiwa besar dengan menghormati saranan YDPA agar memilih seorang calon yang sesuai untuk diangkat sebagai PM... Semua perkara ini lansung sama sekali tidak dijangka... Walaupun pada awalnya, kononnya berlaku gerakan untuk tubuhkan kerajaan baharu bagi menggantikan PH dengan mengekalkan Tun sebagai PM, namun telahan ini semuanya meleset...

Secara logik akal, takkanlah Tun sanggup nak letak jawatan sebagai PM 7 dan kembali semua dalam beberapa hari sebagai PM 8... Ini memang tak masuk akal, tapi, ramai peramal-peramal media sosial melihatnya sebegitu, akibat langkah Sheraton... Hakikatnya, ini adalah percaturan yang cukup licik dan ramai yang sebenarnya tak tahu apa agenda disebalik perkara ini berlaku... Tapi, kalau kita perhalusi akan gerak kerja ini, ianya sungguh halus dan licik, sehinggakan ramai yang salah membuat telahan... 

Hari ini, PM TSMY masih belum lagi membentuk kabinetnya walaupun telah hampir seminggu... Oklah, LL suka nak cadangkan, memandangkan ini adalah kerajaan campuran yang terbentuk dari pelbagai parti, apa kata TSMY melantik 3 orang Timbalan Perdana Menteri...? 

LL cadangkan, seorang dari sabah, seorang dari sarawak dan seorang dari semenanjung Malaysia... Ingat! YA! Ini tidak pernah berlaku semenjak pembentukan Malaysia 1963... Namun, ini boleh dilakukan... Tatkala,  semua orang melihat hanya UMNO/BN & PAS yang membantu TSMY, tapi, jangan lupa peranan MP-MP dari Sabah dan Sarawak... Mereka juga memberi sokongan kepada TSMY... Nah! inilah masanya untuk TSMY menghargai pengorbanan yang dibuat oleh mereka... Nampak mungkin msutahil, tapi, sebenarnya ianya boleh dilaksanakan... 

LL percaya, jika ini dapat dibuat, kerajaan yang ada pasti akan lebih disukai dan disayangi bukan sahaja oleh rakyat Malaysia di semenanjung tetapi juga rakyat Malaysia diborneo (Sabah & Sarawak)... Ianya adalah proses kearah agenda yang lebih besar untuk meraikan apa juga harapan rakyat di kedua buah negeri ini....

Sekadar untuk membuka mata semua pihak...

Thursday, 5 March 2020

KERAJAAN MESTI KUAT! PEMIMPIN KALIBER ITU BAGAIMANA...?


Kerajaan telah dibentuk, Perdana Menteri telah dilantik, Persidangan Dewan Rakyat telah ditunda dan hanya lagi barisan kepimpinan jemaah menteri yang masih belum dilantik... Sekarang pastinya tumpuan tertumpu kepada Perdana Menteri Malaysia, TSMY. Semakin lama masa beliau ambil untuk membuat keputusan, semakin banyaklah ulasan, kritikan, telahan dan macam-macam lagi oleh netizen... Ini belum termasuk serangan berterusan daripada KEM PEMBANGKANG...

YA! Diluar nampak TSMY seorang yang tenang, namun, LL pasti melihat dengan tekanan dari dalam dan luar, beliau pasti merasa akan keadaan yang tidak tentu ini... Semalam, Presiden UMNO DS Zahid telah mengadakan perbincangan dengan PM, dan pasti PM pada akhirnya yang akan membuat keputusan... Secara prinsipnya UMNO/BN & PAS menyerahkan sepenuhnya kepada PM untuk membuat keputusan, dan tanggungjawab besar PM dalam membuat keputusan pastinya akan menentukan halatuju dan kemana negara akan dibawa selepas ini...


Artikel di atas ada menyebut berkenaan dengan lantikan kabinet berkaliber boleh atasi tentangan terhadap kerajaan... Persoalannya di sini, apakah yang dimaksudkan dengan berkaliber dalam konteks memilih Barisan Menteri dalam keadaan kerajaan yang dipilih bukan melalui pilihanraya dan gabungan yang cukup baru dan boleh dianggap sebagai rapuh...?

Kalau melihat gabungan ini, kekuatan terasnya adalah pada Muafakat Nasional, kita lihat bagaimana UMNO/BN pimpinan DS Zahid dan PAS pimpinan HJ Hadi semakin hari semakin mendapat kepercayaan rakyat... Kemenangan dalam beberapa pilihanraya kecil termasuk mengalahkan parti yang dipimpin oleh TSMY di Semenyih dan Tanjung Piai adalah petanda besar kepada kebangkitan rakyat di bawah Muafakat Nasional... Hal ini, lansung tidak boleh diketepikan oleh TSMY sama sekali... 

Bagi LL, kita kena jujur dan ikhlas melihat bagaimana Barisan Pemimpin yang berkaliber di bawah payung Muafakat Nasional berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat daripada kerajaan PH/DAP untuk beralhi kepada Muafakat Nasional (UMNO/BN&PAS)... Tanggapan umum atau pendapat yang bias tidak boleh sama sekali diambilkira jika tidak disertakan dengan prestasi kepimpinan...

Kalau kita kita juga, Barisan yang ada dalam MN mahupun PPBM, mereka-mereka ini adalah gabungan daripada pemimpin yang berpengalaman, pemimpin yang mendapat kepercayaan rakyat di kawasan mereka, ada juga pemimpin-pemimpin muda yang kita lihat berpotensi untuk diangkat sebagai pemimpin... Justeru, LL menyarankan kepada TSMY, agar memilih Barisan Kabinet yang ada elemen kepimpinan parti, pengalaman, pengaruh dan digabungkan pula dengan muka-muka baharu yang berpotensi samada dari UMNO, PPBM mahupun PAS.... Orang akademik atau profesional juga boleh dipertimbangkan (jika perlu) tetapi jika TSMY merasakan sebaliknya, LL mencadangkan mereka-mereka ini diberikan peranan penting dalam membantu kerajaan dalam soal penggubalan polisi, perancangan strategik dan sebagai memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin negara...

Seperti LL pernah katakan, kerajaan mesti kuat! Kerjasama dan kebersamaan parti-parti dalam kerajaan baharu ini mesti kuat dan utuh dalam menghadapi apa juga serangan daripada pihak musuh... 

Tuesday, 3 March 2020

TS Mahyuddin WAJIB Rapatkan Saf Pimpinan, Pemimpin Tak Bersalah Selagi Tiada Keputusan Mahkamah...


Umum mengetahui bahawa pembentukan kerajaan yang dipanggil sebagai Perikatan Nasional ini tidak lain tidak bukan hanya demi kepentingan, keamanan dan keselamatan rakyat... Tidak boleh dinafikan, kerajaan yang mengangkat Tan Sri Mahyuddin Yassin ini  sebagai PM ke-8 adalah sebab JIWA BESAR Presiden UMNO DS Zahid dan Presiden PAS Ust Hadi Awang yang mengemudi parti masing-masing agar memberi sokongan kepada TS Mahyuddin, walau pun TS Mahyuddin sendiri tidak mendapat sokongan penuh dari parti beliau sendiri...

Tapi itu tidak mengapa, apa yang penting selepas menjadi kerjaaan, apakah strategi untuk pastikan sokongan padu dari UMNO/BN dan PAS ini diteruskan? Bagaimana kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan PH sebelum ini...

Mahu tidak mahu, PM Ke8 tidak boleh lansung bertindak sebagai one man show kerana tanggungjawab membentuk kerajaan ini juga adalah hasil antara parti-parti yang mendokong beliau menjadi Perdana Menteri....

Kepercayaan, kebersamaan dan keikhlasan dalam memimpin sangat perlu antara parti yang memerintah... Jangan jadi seperti kerajaan sebelum ini, luar nampak bersama tapi didalam penuh dengan tikam menikam sehinggalah runtuhnya sebuah kerajaan...

Keinginan TSMY untuk mewujudkan kerajaan yang bersih dan dipimpin oleh orang yang bersih juga tidak boleh disalah anggap sebagai menolak secara total terus mana-mana pemimpin yang sedang dalam perbicaraan, kerana mereka belum didapati bersalah sehinggalah mahkamah mendapati mereka bersalah... Itupun, jika benar mereka bersalah... Jika tidak? Itu belum lagi termasuk dengan kredebiliti pemimpin-pemimpin lain yang digambarkan sebagai lemah dan tidak layak diangkat sebagi pemimpin...

LL yakin, TSMY mampu membuat keputusan yang terbaik... Pembentukan Kabinet juga perlu mendapat restu dan persetujuan daripada UMNO/BN dan PAS, apatah lagi nak meletakkan pemimpin yang sesuai, layak, mempunyai kredebiliti dan mampu untuk menjalankan tugas dengan baik... Pengalaman dan prestasi pemimpin juga mesti dititik beratkan....

Bincang elok-elok, pertahankan kerajaan Perikatan nasional ini... Rapatkan Saf Pimpinan, jangan pernah sesekali melepaskan kerajaan ini ke tangan yang lain...

Terus berjuang!

UCAPAN PM8 SELEPAS MENDAPAT SOKONGAN BENTUK KERAJAAN DARIPADA MUAFAKAT NASIONAL


UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN -
PERDANA MENTERI MALAYSIA

“RAYUAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA”

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Wahai saudaraku rakyat Malaysia yang dihormati,

Hampir seminggu negara kita menghadapi kemelut politik yang membimbangkan. Kemelut ini berlaku apabila mantan Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Ini menyebabkan jawatan Perdana Menteri kosong dan perlu diisi.

Menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri baharu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Selaras dengan peruntukan ini, Duli Maha Mulia Tuanku telah berkenan melantik saya sebagai Perdana Menteri. Ini adalah kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Ketua Negara yang menjalankan fungsi baginda selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihanraya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.

Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul. Saudara-saudari pastinya tidak mahu negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya hormati,

Saya tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan sesiapa. Saya cuma ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku supaya keikhlasan saya tidak dipersoalkan.

Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Di peringkat awal, saya dan semua ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020.

Oleh yang demikian, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil keputusan yang bijaksana dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti BERSATU dan ketua-ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.

Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.

Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?

Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihanraya umum perlu diadakan.

Saya sedar saudara dan saudari sudah letih dan la’ih dengan kemelut politik yang berlaku. 

Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian. Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan.

Kerana itu saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan meminta beliau menyokong saya. Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti. Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020.

Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai Perdana Menteri.

Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat.

Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.

Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik. Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.

Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat. Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.

Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya.

Dalam menghadapi wabak corona virus pada masa ini, sama-samalah kita jaga kesihatan.

Saya juga sedar saudara dan saudari juga mahukan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak. Bidang pendidikan amat dekat dengan jiwa saya. Dengan pengalaman selama 6 tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara. Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju. Usaha ini telah pun saya mulakan dahulu. InsyaAllah ianya akan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur. Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua.

Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan kegemilangannya.

Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal,  atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.

Samada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara.

Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini.

Berilah saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.

Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara

Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang insyaAllah akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara dan saudari yang telah menghadapi kemelut yang melanda negara dengan sabar dan tenang.

Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita.

Bersatu teguh, bercerai roboh.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta.

Bismillahi tawakkaltu alaLLah
Faiza azamta fa tawakkal alaLLah

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

LL: SAMA-SAMA NAIK, JANGAN MAKAN KAWAN, INGAT KAWAN-KAWAN YANG BANTU...