Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Friday, 4 November 2016

JOM HIJRAH...

PERUBAHAN adalah sesuatu yang fitrah. Ia berlaku pada sepanjang sejarah hidup manusia. Kita tidak boleh mengelak dari perubahan. Apa yang berlaku pada hari ini akan menjadi tradisi pada keesokannya. Peristiwa yang terjadi pada masa lalu menjadi sejarah pada hari ini. Peristiwa Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah suatu sejarah. Tetapi peristiwa itu tetap hidup pada sepanjang sejarah umat Islam. Ada latar belakang mengapa hijrah itu terjadi. Ada kesan besar kepada umat Islam dan umat manusia hasil dari peristiwa tersebut.

Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah suatu peristiwa strategik.

Strategik bermakna bagaimana Rasulullah s.a.w. menghadapi suatu suasana yang amat kritikal dalam perjuangannya menemui jalan keluar yang amat mencabar dan melaluinya dengan perancangan bijaksana yang dibantu oleh Allah s.w.t.

Peristiwa ini juga memperlihatkan pandangan jauh dan futuristik Rasulullah s.a.w. terhadap perubahan dan peradaban.

Membebaskan manusia dari belenggu jahiliah bukanlah suatu hal yang mudah. Fahaman nenek-moyang yang sudah lama terbina, semangat kekabilahan yang sudah berakar umbi, undang-undang rimba yang kuat mengatasi yang lemah yang sudah sekian lama berjalan adalah faktor-faktor penghalang yang menyebabkan pejuang-pejuang jahiliah merasa tergugat dan akhirnya mengambil keputusan untuk menghapuskan Rasulullah s.a.w. dari muka bumi.

Rasulullah s.a.w. tidak panik dengan gugatan tersebut. Dengan pertolongan Allah, Rasulullah s.a.w. melakukan perancangan yang teliti bagaimana dapat melepasi dari gugatan tersebut. Saidina Ali pemuda yang memiliki keberanian dan kecekalan diletakkan di tempat tidurnya. Hijrah berlaku di waktu malam yang amat strategik dan mendapat reda dan pertolongan Allah.

Saidina Abu Bakar dipilih sebagai teman setia yang amat dipercayai. Gua Thur di selatan Mekah dipilih sebagai tempat perlindungan strategik. Asma’ dan Abdullah anak Abu Kabar dipilih sebagai pembekal makanan dan merisik rahsia pergerakan musuh. Pemandu jalan yang bukan Islam dipilih memimpin jalan ke Madinah berlainan dari jalan biasa.

Ia mengelirukan musuh dan akhirnya dengan bantuan Allah Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah dan mendirikan masjid sebagai lambang memulakan suatu perjuangan membebaskan manusia dari belenggu jahiliah.

Fahaman dan amalan jahiliah berlaku di sepanjang zaman umat manusia. Ia berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. boleh berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Asas yang membezakan jahiliah dan tidak jahiliahnya sesuatu keadaan dan zaman ialah faktor akidah, iman dan takwa.

Akidah yang benar memandu manusia tentang adanya Pencipta. Kewujudan Pencipta membina asas iman bahawa Pencipta berkuasa atas segala-gala. Darinya lahir keinsafan yang membawa kepada takwa bahawa dari Allah manusia datang dan kepada Allah manusia akan kembali. Kehidupan umat Islam tidak saja mengambil pertimbangan dunia tetapi juga mengambil pertimbangan akhirat.

Apabila pertimbangan akhirat menjadi agenda utama, kehidupan di dunia akan menjadi lebih sempurna kerana manusia terus ingat akan hari pembalasan.

Ia menyebabkan manusia lebih berhati-hati dan sentiasa dipandu untuk melakukan kebaikan dan mengelak dari melakukan kejahatan.

Jahiliah pada zaman Rasulullah s.a.w. atau sebelumnya tidak bermakna tiadanya perubahan dan kemajuan dari sudut sains dan teknologi. Zaman Yunani, zaman Mesir Purba, zaman Mesopotamia umpamanya sains dan teknologi sudah mula berkembang. Kemajuan sains dan teknologi bukan ukuran mutlak bahawa manusia sudah bebas dari belenggu.

Sains dan teknologi selamanya alat untuk menemukan manusia dan faktor alamiah dan menemukan manusia dengan ilmu alat untuk memudahkan kehidupan.

Dalam tradisi Islam sains mendekatkan manusia dengan pencipta. Teknologi memudahkan manusia melakukan kebaikan dan membina kesejahteraan. Komputer sebagai alat komunikasi dan sistem maklumat tidaklah salah. Tetapi perisian dan program dalam komputer yang menyebabkan maklumat yang salah tersebar dan program yang lucah menjadi subur mencetuskan masalah kepada minda dan pemikiran manusia.

Tanpa akidah yang memandu manusia ke arah keperkasaan dan kebesaran Allah, pengguna komputer akan merasakan komputer itu segala-gala. Pengguna yang mempunyai akidah mantap melihat komputer selamanya alat. Input, perisian dan program yang bermanfaat berkait rapat dengan matlamat. Alat dan matlamat yang baik bakal membangunkan minda dan ilmu yang baik dan ia akan membebaskan manusia daripada belenggu.

Mengambil peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. remaja Islam perlu mengambil iktibar. Amalan jahiliah yang wujud pada zaman Rasulullah boleh berlaku pada zaman kini. Apabila sebahagian remaja hari ini amat mengagumi budaya asing hingga menyebabkan cara hidup mereka menjadi lepas bebas ia bermakna amalan jahiliah itu sedang berlaku.

Apabila terdapat dalam kalangan remaja yang terlibat dengan salahguna dadah, memuja idola dan diva, gemar melalui hidup secara berpoya-poya, ia juga menggambarkan elemen jahiliah sedang mencengkam.

Faham jahiliah tidak melihat agama itu penting. Pedoman baik buruk akan sesuatu dianggap sebagai ketinggalan zaman. Untuk menjadi moden dan maju remaja dikatakan harus melepaskan diri dari ikatan salah-benar dan dosa-pahala.

Untuk menjadi global, apa yang datang dari Barat adalah lambang maju dan moden. Yang lahir dari tradisi dan agama dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Oleh itu untuk menjadi remaja yang maju dan terkini, Baratlah menjadi segala-gala.

Bukanlah Barat yang harus dibenci oleh remaja. Di Barat terdapat sumber ilmu dan teknologi yang bermanfaat. Tetapi agenda pembaratan yang menyebabkan ramai remaja kita terjebak seharusnya menimbulkan kewaspadaan. Lebih-lebih lagi mengambil faktor kebebasan Barat sebagai ukuran hidup yang maju boleh menjebak remaja kepada elemen-elemen jahiliah yang menjauhkan remaja dari agama.

Oleh itu, semangat hijrah yang dirintis oleh Rasulullah harus hidup pada jiwa remaja di sepanjang zaman. Cintakan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan membina jiwa tadabbur yang tinggi untuk kesejahteraan manusia adalah hijrah yang amat bermakna. Menjaga kepentingan akhlak dan tingkahlaku adalah pra syarat ke arah membina peribadi yang baik. Berhijrah ke arah pembinaan akhlak yang tinggi adalah asas untuk perubahan yang bermakna.

Memiliki upaya menyaring yang tinggi terhadap faktor baik dan buruk adalah syarat penting untuk berinteraksi dengan kehidupan dan zaman. Darinya harus mendorong remaja untuk membina kekuatan ilmu, akhlak dan keterampilan supaya tenaga muda dapat digerakkan ke arah perubahan dan kemajuan yang lebih bermakna.

Jiwa hijrah ke arah kebaikan perlu ada di kalangan remaja. Menebus kehinaan umat Islam mesti bermula dengan ilmu. Ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing remaja ke arah hidup yang fitrah. Mengembalikan tradisi sains dan teknologi yang Islami sewajarnya menjadi tekad remaja supaya pendidikan sains bakal mendekatkan manusia dengan pencipta dan membangunkan teknologi yang memberi menafaat kepada umat manusia.

Jiwa hijrahlah yang mampu mencetuskan kesedaran dan keinsafan di kalangan remaja bahawa tanpa akidah yang benar, iman yang mantap dan takwa yang tinggi tidak mungkin hijrah dalam erti kata yang sebenar boleh berlaku. Hijrah yang didukung oleh kekuatan ilmu, akhlak dan amal bakal merobah corak hidup manusia ke arah perubahan yang lebih bermakna. Hijrah seperti inilah yang amat diperlukan oleh remaja dan umat manusia.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).sumber

No comments:

Post a Comment