Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Wednesday, 27 January 2016

Serangan TH: Jaminan Simpanan Pendeposit Tabung Haji Selamat...


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada para pendepositnya bahawa simpanan mereka di TH adalah selamat, kata Pengarah Urusan Kumpulan TH Tan Sri Ismee Ismail.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, TH turut memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit, iaitu kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Jan-Mac).

Baca: Nasihat Dr. Asyraf Wajdi Kepada Pakar-pakar Kewangan Segera Facebook

“Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan dilalui dan kelulusan dalaman diperoleh sebagai sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik,” katanya.

TH telah menjadi sasaran pelbagai spekulasi dalam laman sosial dan blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus Pendeposit TH 2015 dan surat Bank Negara Malaysia (BNM).

“Tahun 2015 adalah mencabar dan hasil daripada Strategi Alokasi Aset dan Pengurusan Risikonya, ia telah dapat menjana pulangan pendapatan yang baik,”
katanya.

Baca: Pembimbing Haji Perlu Kuasai Kemahiran Teknologi Terkini

Bagaimanapun, Ismee berkata TH juga perlu membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi cabaran ekonomi 2016 dan masa hadapan agar ia lebih berdaya saing untuk menghadapi situasi tersebut.

“Oleh yang demikian, dalam menetapkan kadar bonus TH mesti mengambil kira keadaan ekonomi semasa termasuk pasaran saham, harga minyak dan kadar pertukaran mata wang yang akan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Prestasi kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi, iaitu aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7 bilion.

Di samping itu, Ismee berkata pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di TH dijamin oleh kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji.

Bagi mengukuhkan kedudukan TH, beliau berkata TH mengambil maklum saranan BNM untuk mengkaji semula polisi rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan.

BNM telah memberi cadangan agar mengkaji semula polisi rizab TH berikutan nilai aset TH lebih rendah dari liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan kelembapan pasaran saham.

Ismee berkata nilai aset TH mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburan TH kerana nilai aset yang dinyatakan tidak mengambil kira portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki TH.

“Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset TH lebih tinggi daripada nilai liabiliti TH, di mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama portfolio pelaburan TH.

“Ingin saya sarankan agar para pendeposit lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui media sosial. Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa TH tidak menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata TH akan mengumumkan bonus pada awal Februari 2016 selepas melalui proses-proses dalaman dan auditan interim seperti lazimnya setiap tahun.-sumber

Jomo: Kita doakan yang terbaik untuk Tabung Haji... Serangan terhadap tabung haji hanya ingin menakut-nakutkan Umat Islam...

No comments:

Post a Comment