Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Thursday, 17 December 2015

Zahid Usaha Bantu Anak Seni Yang Memerlukan... @Zahid_Hamidi #AZH

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu persatuan, yayasan dan koperasi seni bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan penggiat seni.

Beliau berkata setiap persatuan seni tidak harus bersikap penting diri sendiri dan perlu sentiasa membantu penggiat seni yang memerlukan.

"Saya akan usahakan supaya bantuan sebanyak RM1 juta ringgit diberikan kepada Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad dengan syarat ia mesti digunakan untuk membantu anak seni yang memerlukan.

"Kalau saya tahu ada anak seni yang tidak terjaga kebajikannya, saya sanggup jadi buruk siku minta balik peruntukan itu," katanya secara berseloroh pada Malam Gegar Anak Seni (Gasseni), semalam (15 Dis).

Turut hadir isteri Encik Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi Projek Gasseni, Datuk Malek Radzuan Saharin.

Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melancarkan Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad pada majlis berkenaan.

Dalam ucapannya, Encik Ahmad Zahid mengingatkan pertubuhan seni agar tidak mempolitikkan pergerakan mereka terutamanya untuk tujuan peribadi.

Katanya meskipun anggotanya mungkin mempunyai perbezaan pendapat namun ia harus dizahirkan secara tertib dan mengikut tata susila.

"Saya seru semua penggiat seni istiqamah dalam melakukan kegiatan seni mereka supaya apa yang dilakukan bukan hanya untuk nilai seni tapi juga ibadah," katanya.

ANUGERAH UTAMA BAGI ALLAHYARHAM HARUN SALIM BACHIK

Dalam pada itu, pelakon komedi, Allahyarham Harun Salim Bachik yang meninggal dunia Mac lepas dikurniakan 'Anugerah Pohon Beringin' bagi menghargai khidmat bakti beliau dalam bidang seni. 


Allahyarham Harun Salim Bachik. (Gambar: Facebook OfficialHarunSalimBachik)

Anugerah tersebut yang merupakan anugerah utama Gegar Anak Seni (Gasseni) disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada balu Allahyarham, Surianti Mohd Nor.

Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim, 55, rebah secara tiba-tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak selepas menghadiri majlis kenduri di Pulau Pinang pada 8 Mac lepas.

Pada majlis itu, Gasseni turut menyampaikan enam anugerah kepada anak seni yang banyak berjasa dalam pembinaan budaya bangsa melalui bidang filem, televisyen, nyanyian, teater, tarian dan muzik.

Mereka ialah pelakon, Allahyarham Ibrahim Pendek bagi kategori Ikon Filem tempatan, Tokoh Penyiar 1994, Tan Sri Ahmad Merican (Ikon Televisyen) dan kumpulan Alleycats (Ikon Nyanyian).

GASSENI DIHADIRI LEBIH 1,000 KARYAWAN SENI

Turut menerima anugerah, Pengarah Khalid Salleh (Ikon Teater), Datin Azanin Ezane Ahmad (Ikon Tarian) dan bekas Pengarah Muzik TV3, Datuk Ooi Eow Jin (Ikon Muzik).

Malam Gasseni yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).

Ia dihadiri lebih 1,000 karyawan tempatan dari pelbagai latar berlakang seni termasuk pengarah, Datuk Yusof Haslam dan penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim.
- Bernama/nk

Jomo: Tahniah TPM di atas usaha ini... Seniman menghiburkan kita, ada kalanya mereka juga memerlukan bantuan... Ini usaha yang cukup baik dalam memastikan sedikit sebanyak kebajikan mereka terjaga...

No comments:

Post a Comment