Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Saturday, 19 December 2015

Salaam Perpaduan! Pemimpin PAS Sambut...

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Harapan orang Melayu serta umat Islam untuk melihat UMNO dan Pas bersatu semakin jelas apabila salam perpa­duan yang dihulurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut dengan ‘dendangan’ irama sama oleh pemimpin Pas.

Malah pemimpin parti itu memberitahu, Pas seperti seluruh rakyat Malaysia yang lain tidak mahu bersengketa sepanjang masa, sebalik­nya mengimpikan suasana politik yang boleh memberikan ketenangan, kedamaian, keharmonian serta kebahagiaan.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, umat Islam di negara ini wajib memikirkan bagaimana kesatuan antara mereka boleh direalisasikan kerana perpecahan hanya menjadikan umat Islam menjadi lemah serta lesu.

“Tiadalah suatu yang indah dalam kehidupan ini melainkan apabila kita boleh melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT ketika saat ia sukar dilakukan.

“Antara perintah Allah SWT yang termaktub di dalam al-Quran, namun sangat sukar untuk direalisasikan ialah perpaduan umat Islam berasaskan tali Allah SWT,” kata Nasrudin yang dipetik menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 menjadi saksi perintis jalan perpaduan antara UMNO dan Pas apabila Presiden kedua-dua parti terbesar orang Melayu iaitu Najib serta Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir dalam majlis itu.

Najib yang juga Presiden UMNO kemudiannya menghulurkan salam perpaduan kepada Abdul Hadi de­ngan berpandukan suruh Ali-Imran ayat 103 yang mengajak umat Islam agar berpegang teguh kepada tali Allah dan melarang daripada berpecah-belah.

Nasrudin menambah, perpaduan itu bagaimanapun hanya boleh dicapai melalui pendekatan politik matang yang menuntut semua pihak berlapang dada, selain mampu duduk semeja bagi membincangkan isu-isu bersama untuk menyatukan umat Islam.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pula memilih pendekatan berdoa yang dipetiknya daripada doa solat Jumaat sebelum memuat naik di Facebook bagi menyampaikan suara hati beliau mengenai seruan perpaduan antara UMNO dan Pas.

“Tuhan kami, satukan antara hati-hati kami, perelokkan hubungan antara kami, tunjukkan kami jalan-jalan kesejahteraan, bebaskan kami daripada segala kegelapan kepada cahaya serta jauhkan kami daripada segala kejahatan yang nyata dan yang tersembunyi.

“Berkatilah kami pada telinga-telinga kami, mata-mata kami, hati-hati kami, isteri-isteri kami dan seluruh zuriat kami, terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah tuhan yang maha menerima taubat dan maha mengasihani,” doanya penuh tersirat.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/politik/pemimpin-pas-sambut-salam-perpaduan-1.170570#sthash.kmOuDTT2.dpuf

1 comment: