Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Friday, 13 November 2015

Terkini! Zahid berjaya kukuhkan lagi hubungan Malaysia-UK... @NajibRazak @Zahid_Hamidi



LONDON - BRITAIN. Lawatan sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri ke United Kingdom (UK) telah membuka ruang kepada kerjasama dua hala Malaysia-UK dalam bidang kepakaran baharu.

Walaupun lawatan itu disingkatkan, ia tetap berjaya kerana kedua-dua negara turut berkongsi pengalaman dalam pengurusan keselamatan di zaman yang semakin mencabar pada masa ini.

Ini kerana mana-mana negara di dunia sekarang tidak lagi dapat menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan keganasan secara unilateral, tetapi memerlukan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa sama ada secara bilateral atau multirateral.

Apa yang menarik daripada hasil lawatan itu ialah bukan sahaja agensi keselamatan Malaysia akan berpeluang belajar dari UK tentang pengurusan sistem keselamatan negara, malah UK sebagai negara maju juga berminat belajar daripada pengalaman Malaysia menangani masalah militan Islam dan pelampau agama dalam program 'deradikalisasi'.

Deradikalisasi adalah tindakan mengubah kepercayaan ekstrem dalam kalangan anggota militan seperti mati syahid dalam perjuangan.

Bagi Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, pertemuan dan perbincangan beliau dengan rakan sejawatan iaitu Setiausaha Dalam Negeri UK Theresa May serta ketua-ketua agensi keselamatan di London dan Manchester dalam tempoh empat hari lawatannya, banyak menyumbang kepada kejayaan yang diharapkan itu.

Beliau juga sempat bertemu Ketua Pengarah General Communication Headquarters (GCHQ), Richard Hannigan walaupun tidak dapat memenuhi undangan kerajaan UK ke Cheltenham untuk melihat fasiliti GCHQ di sana.

"Secara keseluruhannya, pelbagai isu keselamatan telah disentuh dan dibincangkan seperti ancaman keganasan, radikalisasi serta keganasan melampau, aspek pemerdagangan orang atau perhambaan moden, jenayah siber dan bidang imigresen.

"Malaysia sememangnya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani ancaman jenayah dan keganasan tetapi penambahbaikan berterusan dapat dibuat dengan mengambil kira pengalaman serta amalan terbaik yang telah dilakukan oleh  pihak UK dan negara-negara lain," katanya kepada wartawan Malaysia di sini di akhir lawatan kerjanya itu pada Rabu.

Sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata Malaysia boleh belajar pengalaman UK dalam melakukan saringan kepada penumpang udara yang masuk atau keluar dari negara ini, sebagai persediaan kepada pegawai-pegawai Malaysia yang bakal mengendalikan sistem serupa apabila ia dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Pelaksanaan sistem saringan di pintu masuk dan keluar negara itu adalah penting bagi menyokong penyertaan Malaysia ke program pengecualian visa ke Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Seperkara yang tidak kurang penting ialah pertemuan Ahmad Zahid dengan May dan Menteri Negara di Pejabat Luar Negeri dan Komanwel Hugo Swire yang memberi peluang kepadanya menjelaskan perkara sebenar mengenai langkah yang diambil pihak berkuasa Malaysia berhubung rawatan bagi mengatasi masalah kesihatan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penjelasan beliau bahawa Anwar bukan sahaja diberikan rawatan oleh doktor dan pakar perubatan tempatan, malah dibenarkan membawa pakar perubatan dari luar negara untuk merawatnya di Malaysia, mengejutkan May dan Swire, yang sebelum ini mendapat gambaran seolah-olah Anwar langsung tidak diberikan rawatan.

Selain itu, Anwar yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan jenayah turut mendapat 200 lawatan semasa dalam tahanan.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Anwar mengalami kecederaan bahu kronik.

Secara keseluruhannya, beliau mengucapkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam mengendalikan lawatan itu terutamanya agensi keselamatan Malaysia yang telah menyumbang kepada kejayaan yang diharapkan itu.

"Saya bagi pihak Jabatan Perdana Menteri sangat berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK kerana bersama-sama membantu menjayakan program ini.

"Lawatan saya kali ini telah memberi kesan yang cukup mendalam bukan sahaja dalam hubungan dua hala Malaysia-UK, tetapi ia turut membawa beberapa jalinan kerjasama baharu," katanya.

Ahmad Zahid, yang tiba dengan pesawat komersil Penerbangan Malaysia pada Ahad lepas, berlepas pulang ke tanah air pada Rabu malam dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment