Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Friday, 24 July 2015

Menarik! Artikel "JANGAN IKUT RENTAK PEMBANGKANG" cc @NajibRazak @muhyiddin_my @Zahid_Hamidi



Jangan ikut rentak pembangkang
AHMAD FARIS
24 Julai 2015 12:43 AM

MANA-mana Perdana Menteri mempunyai gaya atau cara mereka sendiri dalam melakukan sesuatu.

Sejarah kerajaan perwakilan, sebahagian besarnya memuatkan kisah bagaimana beberapa Perdana Menteri dan Presiden memacu dan mengatur pentadbiran mereka sendiri - sama ada dalam kemelut politik atau senario ekonomi tidak menentu.

Tiada dua Perdana Menteri menangani sesuatu isu dengan cara yang sama. Sememangnya apabila pemerintahan penjajah berakhir, bukan suatu yang mudah untuk menentukan pilihan modul pentadbiran Ketuanan penjajah biasanya menyediakan sebuah rancangan kerajaan. Sebagaimana pelaksanaan pentadbiran kerajaan akan melahirkan persaingan dan konflik, peranan politik dalam kerajaan juga merupakan jenis urusan cinta-benci yang berte­­­r­usan - sesuatu yang manusia tidak pernah insafkan.

Beberapa Perdana Menteri Bri­tish di tahun-tahun kemudiannya, seperti Gladstone (1809-1898), Churchill (1874-1965) dan That­cher (1925) telah menjadi tokoh yang amat disegani pada zaman kekuasaan mereka. Selain sifat kenegarawan semula jadi mereka dan cara politik yang bijak, kredit juga mesti diberikan kepada pihak media yang memaparkan imej yang baik kepada penduduk. Memang tidak dinafikan, media boleh membentuk atau menghancurkan seseorang pemimpin politik. Maka itu, setiap Perdana Menteri amat berhati-hati supaya media menyebelahi mereka.

Dalam isu 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak 'diserang' Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang masing-masing berpangkalan di luar negara dari segenap penjuru. Seolah-olah tidak ada langsung yang baik di mata pihak terbabit.

Justeru hak asasi termasuk prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah dilihat satu penanda aras kemajuan dan ketamadunan suatu bangsa dan negara. Dan sejauh mana Pasukan Petugas Khas diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengumpul maklumat merungkai isu berkaitan perlu dinanti semua pihak dengan sabar, tanpa syak wasangka.

Dalam kehidupan, kadang-kala pernahkah anda terfikir atau terdetik seketika di dalam hati apabila berkongsi sesuatu di laman sosial walaupun dengan niat baik mampu mengundang fitnah. Memang niat seseorang hanya ingin berkongsi (mungkin sebab diviralkan atau macam seronok untuk diperkatakan) tetapi di­salah anggap oleh orang lain, maka di­salahertikan oleh sesetengah pihak sebagai fitnah.

Paling ketara apabila disebarkan tanpa merujuk balik kepada sumber asal (yakni anda sendiri). Mungkin niat 'mereka' hanya untuk bergurau atau berkongsi cerita.

Tetapi dunia tanpa sempadan kini tiada had maklumat yang dikongsikan oleh anda untuk dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Silap hari bulan, akan berpatah balik kepada anda (selaku orang yang memulakannya).

Dalam era teknologi komunikasi moden hari ini, penyebaran fitnah mudah berlaku. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, WeChat - laman sosial dan e-mel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan di­salahgunakan untuk menyebarkan fitnah.

Mungkin bagi yang muda, tidak mudah percaya 100% dengan maklumat yang disebarkan. Tapi tidak bagi golongan lama yang baru berjinak-jinak dengan teknologi terkini. Allah SWT telah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya." (Surah al-Baqarah, ayat 191).

Di sebalik isu 1MDB, ahli-ahli dan pemimpin BN jangan terlampau mengikut rentak menari-nari bersama pengkritiknya. Bagi UMNO khususnya, pemimpinnya mesti melakukan rawatan antipenuaan yang radikal. Tanpa rawatan, UMNO akan sakit tua. Tetapi kalau menjalani rawatan 'stem cell' yang radikal, proses penuaan boleh disekat dan sel-sel baru akan tumbuh bagi memudakannya semula.

Apabila ada kalangan ahli dan penyokong berkata parti mereka dalam keadaan yang membimbangkan, ramai daripada mereka sekadar mengagak dan mengandaikan. Realitinya pakatan pembangkanglah yang sedang berada pada fasa 'inzal' terutama apabila ketiga-tiga parti utama di dalam­nya mengalami pergolakan dalaman dan pere­butan kuasa sehingga menyebabkan persefahaman dibina terpaksa dihibernasikan demi menyelesaikan kemelut parti masing-masing.

Ironinya apabila pergolakan dalam pakatan seolah-olah berjangkit, ternyata DAP yang lebih berpe­ngalaman bijak mengendalikan dan menyembunyikan kemelut tersebut berbanding dua rakannya lain - Pas dan PKR. Namun peluang itu ter­nyata gagal dimanfaatkan kepim­pinan UMNO dan komponen utama BN termasuk MCA dan MIC untuk mengatur dan merangka strategi bagi mengembalikan sokongan rakyat.

Selain menunjukkan kepimpin­an, UMNO-BN juga sedang berhadapan masalah apabila tidak berkemampuan mengatur langkah pada saat parti lawannya dalam kondisi 'tenat'.

Sewajarnya kepimpinan UMNO-BN ketika ini menggunakan peluang pada ketika DAP dan PKR sedang menyelesaikan pergolakan dalaman pakatan mereka untuk sedaya upaya menawan kembali hati pe­ngundi terutama golongan muda.

Biar lah kita yang menentukan rentak!

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

No comments:

Post a Comment