Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Tuesday, 26 May 2015

Artikel Menarik! Hadi, survival Pas dan UMNO?


Image result for PAS UMNO

KEDUA-DUA kem ulama dan Anwarinas dalam Pas yang akan berentap pada pemilihan parti itu di Kuala Selangor dari 4 hingga 6 Jun depan memang diketahui tidak boleh serasi dengan UMNO.

Dua kem ini menaruh kebencian dan dendam pada UMNO. Maka, jangan pula nanti ahli UMNO menaruh harapan tinggi mengandaikan kononnya dengan menyokong secara tidak langsung Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan mempertahankan jawatan presiden daripada dirampas pesaingnya, pemimpin Pas itu setelah menang akan mengambil langkah segera berbaik-baik dengan UMNO. Telahan itu hanyalah propaganda bahan kempen yang digunakan kem lawan Abdul Hadi untuk membentuk persepsi memburuk-burukkan golongan ulama dalam Pas.

Adakah benar Ahmad Awang, pencabar tunggal Abdul Hadi dipergunakan oleh kem Anwarinas untuk menjatuhkan Presiden Pas itu, sekali gus merobohkan tembok ulama dalam Pas? Kalau benar, mungkinkah pengikut Pas perlu ada sedikit simpati untuk Ahmad?

Pemilihan jawatankuasa Pas Pusat nanti dijangka cukup sengit. Sejarah kepimpinan Pas menyaksikan ‘jangka hayat’ seseorang menyandang jawatan presiden paling lama pun sekitar 13 tahun. Abdul Hadi kini memasuki 13 tahun memegang jawatan presiden sejak 2002.

Secara kebetulan atau tidak, Dr. Burhanuddin Mohd. Noor (presiden ketiga), Tan Sri Mohd. Asri Muda (presiden keempat) dan Datuk Fadzil Mohd. Noor (presiden keenam) yang digantikan oleh Abdul Hadi, juga memegang jawatan itu selama 13 tahun.

Dalam tempoh 13 tahun meme­gang jawatan presiden jugalah, Abdul Hadi diuji dan didesak dengan beberapa ‘isu panas’ seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, hukum hudud, penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan kajian semula tahaluf siyasi atau kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Apakah Kuala Selangor nanti bakal menjadi saksi titik penamat politik Abdul Hadi selepas 13 tahun menjadi presiden? Golongan ulama dalam Pas jangan sesekali terleka dibuai mimpi indah kononnya de­ngan sokongan terbanyak diraih Ab­dul Hadi iaitu 90 pencalonan berbanding hanya la­­pan diraih Ahmad, sudah cukup membuk­tikan Abdul Hadi bukan tandingan Ahmad dan telah pasti menduduki jawatan nombor satu itu. Mengapa?

Cuba perhatikan, persaingan untuk pencalonan presiden sebelum ini turut disertai Datuk Husam Musa yang meraih lapan pencalonan. Pas ketika ini mempunyai 191 kawasan sama dengan UMNO, 191 bahagian. Kalau dijumlahkan pencalonan diterima Abdul Hadi (90), Ahmad (lapan) dan Husam (lapan), baru 106 kawasan. Ke mana menghilang baki 85 pencalonan lagi (191 - 106)?

Kalau dibuat andaian, apabila baki kawasan-kawasan Pas ini tidak membuat pencalonan, selalunya sokongan mereka akan ke mana, penyandang atau lawan penyandang? Kalau benar mereka menyokong Abdul Hadi, sudah tentu mereka akan membuat sokongan secara terbuka? Mengapa mengambil sikap berkecuali, berdiam diri?

Jika disorot fakta, Ahmad sendiri ialah penyokong tegar bekas ketua pembangkang yang kini dalam penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan, barulah Ahmad masuk Pas. Bekas pesuruhjaya Pas Perak itu pernah memainkan peranan utama sewaktu krisis kepimpinan di Perak tempoh hari. Dikatakan, beliau antara yang menentang keras sebarang kerjasama Pas-UMNO dalam membentuk kerajaan campuran di Perak ketika itu.

Hakikatnya, sasaran Pas adalah untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang. Inilah yang diimpikan Abdul Hadi dan ulama parti itu. Namun Pas diperlekeh dalam Pakatan Rakyat dan sekadar menjadi rubber stamp oleh DAP dan PKR. Episod penghinaan ini bermula di Kajang sehinggalah Abdul Hadi di­cerca dan dihina oleh DAP yang memutuskan hubungan dengannya seorang, bukan Pas Pusat.

Apa yang diinginkan Abdul Hadi adalah Pas mampu menjadi sekuat UMNO dalam Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak kepada13 parti komponen. Untuk mendapat sokongan rakyat, Pas mesti menjadi dominan dalam PR, sama seperti UMNO dalam BN. Cuma, persepsi rakyat kala ini, Pas sekadar menjadi pengikut dalam PR.

Yang ketara kini, orang Melayu masih bergantung harap kepada UMNO untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka. UMNO dilihat tidak mudah diperkotak-katikkan.

Mana pernah kita dengar MCA, MIC atau Gerakan condemned UMNO. Tetapi dalam PR, DAP dan PKR tanpa segan-silu kutuk dan hina Presiden Pas. Apabila ini diperhatikan oleh orang Melayu, mereka tidak jadi menyokong Pas. Orang Melayu tidak yakin Pas boleh menjadi pengganti UMNO kerana yang kelihatan orang Cina lebih ketara menyokong PR.

Di sebalik itu pula, DAP pada masa sama tidak mahu Pas menjadi dominan dalam PR. Mereka tidak mahu andai kata orang Melayu tidak lagi yakin dengan UMNO suatu hari nanti, maka kerusi UMNO nanti majoritinya akan beralih kepada Pas. Kerana itu jugalah tidak hairan me­ngapa DAP kelihatan ‘groom’ orang Melayu untuk menjadi calon pilihan raya mereka, sepertimana parti itu mencalonkan Dyana Sofya Mohd. Daud dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Perak, sebelum ini dan dalam pemilihan CEC mereka (Zairil Khir Johari). Kalau DAP benar-benar menghormati Pas, mengapa tidak diserahkan sahaja kepada Pas untuk menentukan calon Melayu yang akan mewakili pakatan dalam mana-mana pilihan raya.

Pemilihan jawatankuasa Pas Pusat, terutama presiden, timbalan presiden serta tiga naib presiden akan menjadi penentu survival golongan ulama dalam parti itu. Sama ada benar andaian hujah kumpulan pesaing Abdul Hadi, andai kata Abdul Hadi menang, beliau akan segera berbaik-baik dengan UMNO atau membawa Pas masuk BN, hujah itu bakal ditentukan oleh orang Pas sendiri. Kepada orang UMNO, jangan menaruh harapan untuk Pas mengakrabkan diri dengan UMNO selepas muktamar parti itu nanti.

Pas tetap Pas. Kalau tidak, masakan Pas sanggup beradu kekuatan dengan UMNO di Rompin, ketika UMNO memberi ruang tidak bertanding menentang parti itu di DUN Chempaka tempoh hari. Me­ngapa pula Pas sanggup ‘menjilat ludah sendiri’ dengan membuat pusing­an U menyokong kembali calon PKR - yang menentang terang-terangan hukum hudud di perjuangkan parti itu dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh walaupun semua ADUN UMNO di Kelantan menyokong pula perjuang­an hudud parti itu.

Penulis; DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

No comments:

Post a Comment