Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Tuesday, 14 April 2015

Artikel Menarik! PAS: Menang Jadi Arang, Kalah...?



Menang Jadi Rang, Kalah...?
AHMAD FARIS
14 April 2015 1:16 PM

SAYA berada di kota London ketika ditunjukkan paparan muka depan Mingguan Ma­laysia terbitan 12 April 2015 me­lalui WhatsApp. Berada nun jauh di sebuah negara yang men­jadi penjajah terakhir Tanah Me­layu - kemudian dikenali Malaya, seterusnya Malaysia - atas urus­an perniagaan, sebaik sahaja mem­besarkan paparan peringatan ter­kini Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu, saya terpana seketika.

“Tolak golongan tak beradab”, memang ketara  sekali ketegasan yang berbaur kebimbangan tuanku Sultan, yang diiringi latar belakang tajuknya warna kuning keemasan diraja. Walaupun cuma melalui WhatsApp, merenung tajuk itu saya seolah-olah berada di Malaysia. Sedih, risau dan mahu dekat, mahu menyelami rasa hati tuanku di negeri kelahiran saya, Perak.

Memang wajar sekali peringatan tuanku ini diluahkan, diserlahkan dalam titah ucapan dalam  Mesyuarat Dewan Negara Negeri Perak ke-163 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Sabtu lalu. Walaupun insiden kontroversi  ‘baju hitam’ di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini tidak dikaitkan dalam peringatan ini, namun rakyat cukup maklum akan suara hati tunku Sultan itu.

Hakikatnya, peringatan tuanku ini muncul daripada rentetan beberapa insiden yang dicetuskan pihak pembangkang di negeri itu dalam beberapa tahun ini. Ini memang melukakan hati sesiapa, terutama orang Melayu.

Dan apatah lagi Sultan sendiri yang menjadi payung kepada kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini.
Dalam hal ini, baik UMNO mahupun sebuah lagi parti Melayu, Pas mesti membantu meredakan kegusaran tuanku Sultan Perak. Perbuatan mahu mengetepikan adab sehingga memijak adat semakin ketara oleh mereka yang longgar pegangan adatnya dan kosong fahaman adabnya, mesti dikekang.

Insiden ‘baju hitam’ misalannya,  walaupun ada kalangan ADUN-ADUN Pas, yang menjadi sekutu DAP dalam pakatan pembangkang merasakan diri mereka ‘ditekan’ untuk menurut kehendak rakan sekutu,  pokok pangkalnya takkanlah soal maruah diperjudikan sedemikian rupa.

Malah, apabila diimbas semula semasa insiden upacara angkat sumpah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 2009, dek kerana ikutkan`telunjuk’ pihak lain, sekumpulan penyokong Pas sanggup berbaring di atas jalan raya dan menghalang perjalanan Sultan Perak ke istana. Bahkan, ada yang turut membaling kayu dan botol air kepada polis.

Yang tidak enaknya, nasib kumpulan 13 individu penyokong Pas ini berakhir di mahkamah. Ini apabila mereka didapati bersalah kerana cuba menghentikan proses undang-undang dalam pelantikan Dr. Zambry sebagai menteri besar yang baharu. Mereka terpaksa meringkuk dalam penjara selain didenda. Tetapi di mana kelibat parti sekutu dalam memperjuangkan nasib mereka?

Ahli dan penyokong Pas mesti peka dan ambil kisah senario hubungan DAP-Pas kebelakangan ini yang seakan-akan ada yang tidak kena. Sehinggakan soal adat, maruah diri, kepentingan Melayu dan institusi raja ditolak tepi.

Kalau diperhatikan, pada 18 Mac lalu pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) atau dikenali hukum hudud diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan,  pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Empat hari kemudian, diadakan mesyuarat CEC DAP untuk menentukan pendirian DAP terhadap kelulusan hudud itu. Namun, pada malam 22 Mac itu dikatakan  telah berlangsung mesyuarat pra council CEC DAP yang dipengerusikan Penasihatnya, Lim Kit Siang untuk membincangkan ‘apa tindakan DAP terhadap hudud’.

Di sebelah kiri Kit Siang, kelihatan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan di kanan pula, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub. Wakil PKR lain ialah timbalannya, Mohamed Azmin Al; seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa serta empat lagi ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin, Dr. Mohd. Hatta Ramli, Khalid Samad dan Datuk Dr. Mujahid Yusof.

Persoalannya, adakah kehadiran wakil-wakil Pas ini di bawah pengetahuan Majlis Syura dan Dewan Ulama Pas? Pendirian DAP dalam isu hudud ini hanya diumumkan sehari selepas mesyuarat 23 Mac ini dengan keputusan hanya memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak bermaruah dan jujur berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Bahkan, Lim Guan Eng menarik perhatian lagi bahawa pengkhianatan Abdul Hadi bukan saja dalam isu hudud, malah dalam isu pencalonan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang menyebabkan krisis besar berlarutan sehingga hampir menjatuhkan kerajaan negeri Selangor. Siapa yang memberi idea kepada Guan Eng agar jangan membabitkan Pas secara makro dalam penolakan hudud oleh DAP ini?

Jika berbalik kepada insiden baju hitam dalam DUN Perak pada 31 Mac lalu, adakah perlakuan semua wakil Pas termasuk ADUN Changkat Jering, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin di bawah pengetahuan pesuruhjaya Pas Perak. Setakat hari ini, apa pendirian Pas Perak dalam insiden yang menyebabkan Sultan murka ini? Pas Perak, kalau tidak setuju dengan ‘kumpulan baju hitam’ mesti buat sidang akhbar terbuka.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempunyai hubungan baik dengan pembangkang Perak dan sesekali kelibat wakil pembangkang ada dalam istana baginda. Namun, sikap terbuka ini tidak dihargai.
Menjelang pemilihan Presiden Pas pada Muktamar Jun tahun ini nanti, kemungkinan terjadi senario luar jangka tidak boleh ditolak. Kalau kumpulan ulama menang, apa akan jadi kepada geng Anwarinas. Adakah geng Anwarinas akan menggunakan platform Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) diterajui Presidennya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi, untuk diaktifkan sebagai parti politik. Difahamkan, kumpulan ulama akan membariskan Abdul Hadi calon Presiden; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden) manakala untuk Naib Presiden menampilkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan ajk Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Grup Anwarinas pula dengan Husam selaku calon Presiden; Mohamad Sabu (timbalan) berserta barisan naib presidennya, Salahuddin, Hanipa dan Mujahid. Tetapi bagaimana pula andai kata kumpulan ulama tewas?

Sebab itu ada kemungkinan besar pemilihan Pas kali ibarat ‘peperangan’ yang bakal menyaksikan yang ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’.Apatah lagi, dengan cara kempen yang kedengaran dahsyat sekali sehingga mencaci dan mencerca kumpulan ulama parti itu.

Dengan DAP enggan berurusan dengan Abdul Hadi, adakah ini bermakna parti itu sudah campur tangan dalam menentukan pucuk pimpinan Pas? Guan Eng tentu sekali tidak mahu ‘bakar jambatan’ dengan Pas kerana kedudukannya di Pulau Pinang pun bergantung kepada Pas.

Di kota London, saya memanjatkan doa, barang dijauhkan “menang jadi arang, kalah jadi abu”  dalam mana-mana perjuangan politik Melayu. Selami, hayati dan laksanakan peringatan Sultan Nazrin.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

No comments:

Post a Comment