Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Sunday, 30 November 2014

Artikel Menarik: PAS Kena Tempias Isu Negara Islam -MI

Ketika berbual-bual dengan tetamu semeja semasa makan malam di Kelab Tasik Kuala Lumpur Rabu lalu, tiba-tiba seorang kenalan Cina bertanya: "Apa beza kumpulan Negara Islam (IS) di Syria-Iraq dengan Negara Islam yang PAS mahu bikin di Malaysia? Sana Islam, sini pun Islam, tak sama ka?"

Hakikatnya, dalam kalangan bukan Islam, juga sebahagian umat Melayu-Islam, kekeliruan sebegini sangat lazim. Pada mereka, orang Islam di Arab Saudi, Iran, Afghanistan dan Pakistan sama dengan orang Islam di Nusantara, justeru sukar memahami kenapa berlaku pengharaman, pentakfiran, peperangan dan berbunuhan sesama sendiri. Mereka tidak dapat membezakan Sunah, Syiah, Wahabi, Qadiani, Qaeda, Jabhatun an-Nusrah, Daulah Islamiyah Iraq wa Sham, Jemaah Islamiyah, Hamas atau mazhab.

Premis kekeliruan ini mudah difahami. Mereka membandingkan prinsip perjuangan dan tindakan keganasan kumpulan IS, Taliban dan Boko Haram yang dilakukan atas nama Islam dengan apa yang mereka lihat di sini.

Di Malaysia, PAS adalah parti yang mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud andainya berkuasa pada peringkat Pusat. Ini jajaan politik PAS sejak tahun 1960-an, malah pernah mengeluarkan Amanat Hadi yang mengkafirkan UMNO dan kerajaan awal 1980-an dulu serta menerbitkan Dokumen Negara Islam pada tahun 2001.

Walaupun ia parti politik bukan militan, hakikatnya, ada ahli dan penyokong yang fanatik, taksub dan terbabit dengan keganasan atau menganggotai kumpulan militan. Apabila terbongkar kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) selepas Peristiwa 9/11 di Amerika Syarikat, antara yang ditahan adalah ahli PAS termasuk Nik Adli Nik Mat, anak Mursyidul Am PAS. Juga diketahui ahli KMM ialah Mohd Lotfi Ariffin, 46, bekas banduan dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah. Beliau terbunuh di Syria September lalu.

Pada 19 November 1985, sekumpulan pengikut PAS bertempur dengan polis di Memali, Kedah. Mereka bersenjata, lalu diminta polis agar bersurai dan menyerah diri secara damai. Dalam peristiwa ini, ramai yang mati, termasuk pengikut PAS yang fanatik dan anggota polis.

Dalam kes lain, Ketua Kumpulan Al-Ma'unah, bekas prebet tentera Mohd Amin, memberitahu mahkamah sekitar tahun 2000 bahawa beliau dan 19 pengikutnya percaya ajaran parti Islam bahawa pemimpin kerajaan dan tentera-polis adalah kafir, toghut, zalim dan mesti diperangi. Mereka diajar membenci kerajaan UMNO-Barisan Nasional, sebaliknya menyokong parti Islam untuk mengguling kerajaan Malaysia dan menubuhkan Daulah Islamiyyah dengan negara atau wilayah Islam yang lain di Asia Tenggara.

Walaupun PAS kini tidak lagi mengkafirkan orang UMNO, namun dalam kalangan pemimpin dan penyokong rakan sekutu pakatan pembangkang, terdapat juga kekeliruan dan keresahan akan sikap PAS. Parti ini pernah menyetujui kandungan perjanjian bersama dengan DAP dan PKR untuk gugurkan hasrat penubuhan negara Islam, serta menerima Buku Jingga sebagai manifesto bersama dalam PRU2008 dan PRU2013, tapi sekarang bertegas mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Seperti ditegaskan Ketua Wanita UMNO Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, ketika berbahas dalam Perhimpunan Agung UMNO Rabu lalu, PAS tidak perlu lagi mahu membentuk atau mencipta sebuah negara Islam kerana Malaysia sememangnya sebuah negara Islam. Tiga fasa pembinaan negara yang dilaksanakan Rasulullah jelas dilalui Malaysia. Fasa pertama, memberi kesedaran mengenai Islam.

Ini dilakukan kerajaan melalui pendidikan, media massa, ceramah dan pelbagai medium. Proses memberi kesedaran berterusan hingga hari ini. Fasa kedua, membentuk nizam atau sistem. Nilai Islam diterap meluas dalam sistem pentadbiran, muamalat, kutipan zakat dan perniagaan, kehakiman dan mahkamah serta pendidikan. Untuk jaga aqidah, ditubuhkan Tabung Haji, institusi pengajian Islam, sekolah agama, produk halal, selain 6,263 masjid dan 17,286 surau seluruh negara. Fasa ketiga, mengekalkan peradaban Islam melalui keseimbangan dalam peradaban dan wasatiyyah.

"Dari perspektif kenegaraan, Malaysia bawah pentadbiran UMNO-BN menepati model negara Islam, mencontohi apa yang Nabi Muhammad buat dalam membina negara. Kejayaan Malaysia sebagai negara Islam diiktiraf dan dihormati seluruh dunia, malah pernah mempengerusi Persidangan Negara Islam (OIC).

Satu dunia nampak, terima dan iktiraf kejayaan Malaysia sebagai model negara Islam, baik dalam bidang pentadbiran, ekonomi, pendidikan, sosial dan perundangan. Hanya PAS dan rakan sekongkol saja yang kabur, kebas dan dalam denial mode," tegas Dr Mashitah, yang diberi tepukan gemuruh dan 'standing ovation.'

- Juhaidi Yean Abdullah

No comments:

Post a Comment