Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Saturday, 3 May 2014

Ragam Manusia! Sebab Komen di FB...


Akibat tidak berpuas hati dengan komen di laman sosial Facebook (FB), dua wanita masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menyerang jiran mereka, Februari lalu. 

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, menjatuhkan hukuman itu ke atas Maziah Samion, 31, dan Melor Abu Bakar, 51, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan. 

Mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan Saridah Sohib, 39, di sebuah rumah di Jalan 19, Taman Mulia, Mantin dekat sini, pada jam 10 malam, pada 21 Februari lalu. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamad Izwan berkata, tertuduh sepatutnya malu dengan perbuatan mereka serta tidak terlalu mengikut perasaan marah. 

“Malu apabila jadi begini kerana anak sudah besar. Jika tidak dapat selesai cara baik, jumpalah penghulu atau sesiapa yang boleh membantu. Kamu sepatutnya cari cara lain, kalau ikutkan nafsu, memang beginilah akibatnya,” katanya. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh mengunjungi rumah Saridah kerana tidak berpuas hati dengan komen jiran mereka dalam Facebook hingga berlaku pertengkaran. 

Dalam kejadian itu, Saridah memaklumkan komennya kerana tindakan tertuduh yang bercerita mengenai hal dirinya dan keluarga kepada penduduk, selain menuduhnya dengan perkara bukan-bukan. 

Berikutan itu, tertuduh memukul, menarik rambut dan menampar pipi Saridah sehingga mulutnya berdarah. Dalam kejadian itu, Maziah turut menggigit tangan Saridah. sumber

No comments:

Post a Comment