Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Friday, 30 May 2014

Bekas Ketua Tentera Adalah Presiden BAHARU MESIR...



KAHERAH 29 Mei - Bekas ketua tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi memenangi pilihan raya Presiden negara ini apabila meraih lebih 90 peratus undian berdasarkan keputusan awal selepas proses pengundian dilanjutkan selama tiga hari ekoran jumlah pengundi yang keluar mengundi rendah.

Kemenangan Abdel Fattah itu sekali gus meletakkan beliau sebaris dengan pemimpin Mesir terdahulu yang mempunyai latar belakang ketenteraan, tidak termasuk bekas Presiden, Mohammed Mursi yang digulingkan pada Julai lalu.

Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya Presiden (PEC) melaporkan, keputusan tidak rasmi itu menunjukkan Abdel Fattah memperoleh 93.3 peratus undian, jauh meninggalkan pencabarnya, Hamdeen Sabbahi yang merupakan ahli politik berhaluan kiri, dengan meraih hanya tiga peratus sokongan manakala 3.7 peratus lagi dikategorikan sebagai undi rosak.

Jelas sumber terbabit, jumlah pengundi yang keluar sebanyak 44.4 peratus atau kira-kira 24 juta daripada 54 juta pengundi berdaftar, angka yang lebih rendah berbanding 52 peratus pengundi yang keluar ketika Mursi mencatat kemenangan sebagai Presiden awam pertama pada 2012.

Kemerosotan itu menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti Abdel Fattah yang diangkat oleh penyokongnya sebagai wira yang mampu memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Keputusan rasmi pilihan raya terbabit hanya akan diumumkan seawal minggu depan.

Sementara itu, pengkritik menyuarakan kebimbangan corak kepemimpinan beliau akan menyamai bekas Presiden, Hosni Mubarak yang digulingkan melalui gerakan revolusi rakyat, sekali gus memusnahkan harapan untuk melakukan perubahan dan menegakkan semula demokrasi.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di New York menyatakan, tindakan tegas pihak keselamatan selepas kejatuhan Mursi telah mewujudkan suasana tekanan yang menjejaskan keadilan pilihan raya.

"Penahanan beribu-ribu ahli politik tidak kira berfahaman Islam atau sekular telah menutup perbezaan politik dan mengganggu maksud pilihan raya yang sebenar," kata Pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia Asia Barat dan Afrika Utara, Sarah Leah Whit. - sumber

No comments:

Post a Comment