Frenz Of Tentera Negara

Selamat datang Ke Blog TENTERA NEGARA. Tulisan untuk bacaan, berdasarkan pertimbangan penulis. #IniBlogBukanKauYangPunya

Wednesday, 11 December 2013

Teguran dan Amaran KP MKN


Sejak kebelakangan ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati banyak pihak mengambil peluang untuk memberikan pandangan dan tidak kurang juga kritikan berhubung pelaksanaan operasi pengurusan banjir terutama di Pahang dan Terengganu. Justeru, MKN terpanggil untuk memberikan respon terhadap surat terbuka daripada Nur Adilla Abd Rahim bertajuk "Surat terbuka kepada Majlis Keselamatan Negara" bagi menjelaskan keadaan sebenar serta menangkis persepsi negatif terhadap jentera pengurusan bencana negara yang dicanang pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.

Penulis menyatakan kehairanan beliau terhadap tahap ketidaksiagaan badan-badan kerajaan tertentu sedangkan Malaysia menghadapi situasi banjir saban tahun. Luahan beliau, hanya apabila Ahli Parlimen Kuantan membawa perkara mengenai banjir di Kuantan ke Dewan Rakyat barulah ia mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara. Hal ini memperlihatkan bahawasanya kedua-dua penulis dan Ahli Parlimen Kuantan tidak mengikuti perkembangan semasa.

Banjir yang berlaku di Kuantan bermula pada 2 Disember 2013 dan Ahli Parlimen Kuantan hanya membawa perkara ini ke Dewan Rakyat pada 4 Disember 2013. Pada waktu YB Fuziah Salleh mengutarakan usul berkenaan, anggota tindak balas sudah pun beroperasi selama dua hari bagi mengeluarkan mangsa untuk dipindahkan ke pusat pemindahan dan mangsa yang berjaya diselamatkan adalah seramai 13,460 orang di Kuantan sahaja. Pemindahan seluruh negara setakat jam 12.00 malam 4 Disember 2013 melibatkan 21, 253 mangsa. Sebenarnya, Puan Nur Adilla dalam tulisan ini memberi gambaran bahawa YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan tidak turun ke padang sewaktu banjir mula berlaku serta tidak mengikuti perkembangan banjir di kawasan Parlimen Kuantan yang beliau wakili.

Adalah tidak adil bagi penulis untuk menyimpulkan bahawa operasi menyelamat, memindah, dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir hanya dilakukan oleh MKN setelah ditekan dan didesak oleh ahli politik. Perlu dijelaskan di sini bahawa MKN menguruskan bencana tanpa dipengaruhi sebarang fahaman politik mahupun individu berkepentingan. Prioriti utama adalah menyelamatkan nyawa tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, serta fahaman politik seseorang.

Dakwaan penulis dan juga Ahli parlimen Kuantan turut memperlihatkan ketidakfahaman mereka tentang sistem pengurusan bencana negara yang setaraf dengan sistem antarabangsa seperti badan-badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) yang meliputi aktiviti sebelum, semasa dan selepas berlakunya sesuatu bencana.

Walhalnya, sebelum dicadangkan oleh penulis sekali pun, MKN saban tahun mengambil langkah melakukan persiapan sebelum berlakunya bencana banjir. Hasil daripada post-mortem pengurusan banjir bagi musim tengkujuh lalu digunakan bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti supaya jentera pengurusan banjir akan datang lebih berkesan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sejurus negara menghampiri musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut 2013/2014, MKN mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 24 September 2013 sebagai langkah persediaan awal. Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangkakan sebanyak 4 hingga 5 episod hujan lebat akan berlaku dalam tempoh sehingga Mac 2014. Episod hujan lebat yang menyeluruh selama 3 hingga 7 hari akan menyebabkan risiko berlakunya banjir. Melihatkan keadaan ini, MKN mengarahkan supaya agensi serta aset pengurusan banjir diletakkan dalam keadaan bersiap sedia. Untuk makluman, wakil kerajaan Negeri turut dijemput untuk menghadiri Mesyuarat JPBP bagi berkongsi maklumat mengenai persediaan jentera pengurusan banjir serta ramalan keadaan cuaca. MKN negeri juga mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri masing-masing bagi menyelaraskan persediaan di peringkat negeri dan daerah.

Pendek kata, kerajaan melalui pelbagai agensi pengurusan bencana termasuk MKN melakukan semua persediaan yang perlu bagi memastikan operasi menyelamat dan perpindahan dilakukan sepantas mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini serta memastikan bekalan dan keperluan di pusat pemindahan adalah mencukupi.

Untuk makluman penulis, seramai 56,997 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Jabatan Pertahanan Awam di seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk memberikan bantuan. Selain itu, aset kerajaan yang boleh dikerahkan untuk operasi banjir di seluruh negara ditempatkan mengikut zon. Melihat kepada keadaan banjir semasa di pantai timur, MKN dan agensi-agensi tindak balas berkaitan mengambil tindakan untuk menggerakkan kekuatan dan aset di negeri-negeri yang tidak dilanda banjir bagi meningkatkan keupayaan agensi tindak balas dalam operasi banjir di kawasan yang terjejas banjir.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan di pusat-pusat pemindahan mewartakan sebanyak 4,696 pusat pemindahan di seluruh negara yang boleh menempatkan seramai 1.3 juta mangsa. 54% daripada pusat pemindahan yang dikenal pasti adalah Kompleks Penghulu, Dewan Orang Ramai, Pusat Komuniti, dan lain-lain. Selebihnya adalah sekolah. Selain itu, JKM juga menubuhkan Depot Simpanan Keperluan Bencana dan Stor Bencana Negeri di beberapa lokasi strategik di Pengkalan Chepa, Kemaman, Bedong, Sungai Buloh, dan Muar. Selain itu, terdapat 513 Pangkalan Hadapan bagi menyimpan stok barangan makanan dan barangan bantuan bencana ke kawasan yang berisiko terputus hubungan atau terputus bekalan.

Namun, manusia hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Perancangan dan persediaan tidak selalunya berjalan lancar terutama dalam keadaan dunia yang mengalami perubahan iklim. Penulis seharusnya sedar cabaran yang dihadapi oleh agensi pengurusan bencana apabila terpaksa berdepan dengan cuaca ekstrem yang membawa kepada bencana. Dalam kes di Kuantan, rekod cerapan hujan dari 1 hingga 3 Disember adalah sebanyak 900 mililiter. Cerapan ini adalah tiga kali ganda daripada jumlah cerapan sepanjang Disember bagi 2012 iaitu 330 mililiter sebulan. Faktor ini, ditambahkan dengan fenomena air pasang besar menyebabkan air naik dengan mendadak sekali.

Sistem ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) setaraf dengan negara maju. Namun, apabila melakukan ramalan bagi cuaca tropika seperti di Malaysia, ia ternyata agak sukar dan ini turut diperakui oleh pakar-pakar meteorologi dunia. Ramalan berlakunya episod hujan walaupun dapat dilakukan 7 hari ke hadapan namun ia tidak dapat menentukan lokasi tepat kejadian hujan, sebaliknya hanya secara umum. Lanjutan daripada ramalan JMM, amaran awal disebarkan melalui media termasuk media elektronik dan bantuan polis supaya penduduk di kawasan berisiko berjaga-jaga. Sejurus air mula naik, agensi penyelamat melakukan operasi pemindahan.

Mengenai dakwaan tentang bantuan yang lambat tiba serta keadaan yang teruk di pusat pemindahan, ia harus dicerna dengan minda yang rasional. Harus difahami bahawa kerja pemindahan memerlukan masa berikutan keadaan cuaca, jumlah mangsa, serta faktor yang tidak dapat dielakkan. Terdapat mangsa yang enggan berpindah meskipun dipujuk dan akhirnya terkandas berikutan air naik terlalu dalam.

Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir melebihi jangkaan awal menyebabkan keadaan agak tidak tersusun di pusat-pusat pemindahan pada peringkat awal. Ekoran daripada kenaikan aras air yang tinggi akibat hujan ekstrem dan air pasang besar, terdapat beberapa pusat pemindahan turut dibanjiri. Mangsa di pusat pemindahan berkenaan terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan lain yang menyebabkan sedikit kesesakan.

Berikutan situasi ini, JKM juga terpaksa mengambil langkah menyusun semula pengagihan bekalan makanan dan bahan mentah bagi memastikan keperluan mencukupi. Selain itu, pihak berkuasa turut mengalami cabaran daripada segi logistik bagi menghantar bekalan berikutan keadaan cuaca yang buruk serta jalan raya ditenggelami air. Namun, ini hanya berlaku pada peringkat awal pembukaan pusat pemindahan sahaja dan keadaan kini lebih stabil dan bertambah baik serta bekalan keperluan adalah mencukupi. Bagi kawasan yang terputus hubungan, bantuan dihantar melalui helikopter.

Melihatkan keadaan semasa banjir yang melanda negara, MKN perhatikan ramai yang cuba membandingkan Malaysia dengan negara Jepun yang dikatakan lebih unggul dalam menguruskan bencana. Walaupun ia adalah suatu perkara yang positif bertujuan penambahbaikan, namun adakah mereka ini sedar bahawa apabila negara Jepun dilanda bencana, semua pihak di segenap lapisan masyarakat meletakkan perbezaan fahaman politik dan ideologi mereka ketepi dan berganding bahu untuk menangani krisis yang dihadapi.

Kerajaan Jepun seperti lain-lain negara yang dilanda bencana yang diluar jangkaan atau berskala besar turut mengalami masalah untuk menguruskannya di peringkat awalan. Menyedari hakikat ini, masyarakat setempat serta organisasi sukarelawan tempatan memainkan peranan mereka sebelum ketibaan pihak berkuasa. Mereka ini mempunyai kesedaran tinggi peranan dan tanggungjawab yang seharusnya mereka mainkan tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Ini membolehkan negara mereka untuk bangkit kembali dengan pantas selepas berlakunya musibah. Masyarakat Jepun sama ada orang awam atau parti politik tidak memijak di atas kepala agensi dan anggota penyelamat untuk mendabik dada sendiri.

Dalam keghairahan kita untuk membandingkan situasi dalam negara dengan negara luar yang dirasakan lebih ke hadapan, seharusnya kesediaan masyarakat untuk turut sama menggalas perubahan juga harus diambil kira.Tahap kesedaran rakyat Jepun terhadap pentingnya untuk bersedia menghadapi bencana adalah amat tinggi. Menyedari bahawa mereka tinggal di kawasan yang berisiko menghadapi bencana alam, mereka memberikan kerjasama dalam melaksanakan langkah persediaan termasuk mengambil insurans bagi melindungi harta benda mereka.

Mengenai bantuan berupa wang berjumlah RM500 yang didakwa penulis sebagai terlalu sedikit, ingin diperbetulkan di sini bahawa ia bukanlah sebagai pampasan atau ganti rugi kepada kerugian yang dialami mangsa. Terma yang sebetulnya bagi pemberian wang kepada mangsa ini adalah sumbangan Bantuan Wang Ihsan kerana ia hanya bagi meringankan beban kepada mangsa atas dasar keprihatinan kerajaan bagi membolehkan mereka ini memulakan kehidupan sejurus selepas berakhirnya banjir.

MKN juga mengambil kesempatan ini untuk menjawab tohmahan kononnya Bantuan Wang Ihsan terlebih dahulu masuk ke dalam poket segelintir pihak yang tamak. Sebagai makluman, sumber kewangan bagi peruntukan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa bencana adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan sedia ada dan proses pengauditan.

Proses penyerahan Bantuan Wang Ihsan juga tidak dilakukan sewenang-wenangnya, dan memerlukan dokumen pengenalan diri selain hanya empunya diri iaitu ketua keluarga yang disahkan dibenarkan untuk mengambilnya. Semua keluarga yang layak akan diberikan Bantuan Wang Ihsan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik waima mereka mengenakan pakaian melambangkan parti yang disokong sekalipun semasa proses penyerahan. Hasilnya, akaun KWABBN bebas daripada sebarang komen audit yang negatif berikutan ia diuruskan dengan baik.

Sebagai makluman, negara pernah mengalami situasi banjir yang lebih buruk dan menyeluruh di seluruh negara melibatkan lebih daripada 230,000 mangsa yang berpindah pada 2010, selain daripada 140,000 mangsa pada 2006 dan 100,000 mangsa pada 2005. Namun, situasi banjir semasa yang diperlihatkan adalah seolah-olah kerajaan tidak berdaya untuk menguruskannya, sedangkan mangsa yang terlibat pada ketika ini berjumlah sekitar 50,000 orang iaitu jauh lebih sedikit. Hakikatnya, realiti di peringkat lapangan, keadaan ini masih boleh dikawal dan ditangani dengan baik walaupun terdapat gangguan dan cabaran logistik pada peringkat awal.

Tujuan MKN mengemukakan respon bukan disebabkan tidak boleh menerima kritikan tetapi bagi memperbetulkan salah faham serta kesalahan fakta yang didakwa oleh banyak pihak termasuk penulis sendiri. MKN menghargai segala pandangan konstruktif yang diutarakan. MKN sentiasa berusaha untuk memantapkan dan memperbaiki sistem pengurusan bencana dalam keadaan perubahan iklim dan senario pembangunan negara yang rancak. Namun, ia juga perlu mengambil kira keupayaan dan kapasiti negara selain melihat kepada kebolehmampanan kepada sesuatu usaha yang dilakukan.

Semua pihak dipohon untuk tidak melihat dari jauh dan mempolitikkan pengurusan bencana serta mengambil tindakan menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan kestabilan dan kelancaran operasi banjir yang boleh merendahkan moral petugas yang sedang bertungkus-lumus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Sebaliknya, semua pihak perlu berganding bahu bagi membantu jentera pengurusan bencana di peringkat tempatan. Nur Adilla Abd Rahim adalah seorang yang terpelajar. Justeru MKN yakin puan faham dengan maksud "Good deeds should be spotlighted and not laserred". – 10 Disember, 2013.

Datuk Mohamed Thajudeen
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara

Published with Blogger-droid v2.0.10

1 comment:

  1. Letih melayan mrk yg gemar brcakap tp langsung x brkerja n membantu mangsa2 yg terlibat banjir, mrk tau brcakap n asyik brcakap saja tapi yg merasai n terlibat tahu cerita sebenarnya...

    ReplyDelete